Cougar EX mahu menang
KUALA LUMPUR - Gabungan pemain bola sepak dan futsal dalam pasukan Cougar EX merupakan antara senjata utama pasukan itu dalam menghadapi saingan kejohanan Rentap Futsal Putrajaya 2 Kosmo! 2011.
Ramuan itu bakal mengejutkan pihak lawan dengan pelbagai strategi menarik hasil gabungan dua disiplin sukan tersebut.
Pengurus pasukan itu, Muhammad Redza Abdul Aziz berkata, meskipun pada awalnya Cougar EX berdepan masalah untuk membentuk keserasian, namun ia dapat diatasi hasil penyertaan dalam beberapa kejohanan futsal.
"Latihan intensif sekali seminggu yang dijalankan juga dapat membentuk keserasian antara pemain dan seterusnya menghasilkan corak permainan yang menarik," katanya ketika dihubungi di sini semalam.
Dalam pada itu, selepas sebulan mengesahkan penyertaan bagi kategori Terbuka Lelaki, Redza memberitahu, beberapa siri perlawanan persahabatan telah diadakan bagi menguji kekuatan sebenar pasukan tersebut.
Jelasnya, pengalaman yang diperoleh daripada perlawanan-perlawanan tersebut mengajar Cougar EX untuk lebih bersedia menghadapi kejohanan sebenar.
Menurutnya, ia penting dalam memperbaiki kelemahan pasukan yang dapat dikesan dalam setiap perlawanan persahabatan yang diadakan.
"Pasukan kami datang untuk menang, jadi persiapan rapi perlu dibuat dan kami akan pastikan kejutan berlaku," tambahnya.